SEJARAH MAHMUD BANDAR BAHARU



Madrasah Ittihad Al-Wataniah Bukit Aping adalah nama asal bagi Maktab Mahmud Bandar Baharuyang telah diambil alih oleh kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Pembinaannya adalah hasil sumbangan masyarakat setempat dan didirikan di tanah wakaf yang diwakafkan oleh pihak masjid Bukit Aping.

Pada awal penubuhannya, sistem pengajian adalah berteraskan kepada sistem pondok yang diguna pakai pada zaman tersebut yang menumpukan kepada ilmu Agama dan Bahasa Arab berdasarkan kepada sukatan pelajaran dari Al-Azhar. Kaedah pengajarannya ialah guru bersyarah tentang sesuatu kitab sementara pelajar duduk bersila mengelilingi guru. Sistem ini dikenali sebagai ‘halaqah’. Kaedah pengajarannya terbahagi kepada dua iaitu ‘menadah kitab’ dan ‘kaedah menghafal’. Kaedah pembelajarannya pula adalah secara hafalan, yang mengkehendaki pelajar untuk menghafal kitab-kitab ilmu dengan ‘matan’ atau ‘mukhtasar’ sama ada dalam bentuk prosa (nasr) atau puisi (shier).
Pelajarnya hanya terdiri daripada pelajar lelaki sahaja, pada mulanya hanya terdapat 37 orang pelajar dan jumlah ini meningkat kepada 100 orang pada tahun 1940. Hanya pada tahun 1966 hingga 1968, subjek akademik seperti Matematik, Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains diperkenalkan.
Tanggal 1 Julai 2003, Kerajaan Negeri Kedah telah mengambilalih pentadbiran madrasah ini dan ditukarkan nama kepada Maktab Mahmud Bandar Baharu. Ia diletakkan dibawah pentadbiran Lembaga Maktab Mahmud yang bertanggungjawap mengurustadbir setiap Maktab Mahmud yang terdapat di negeri ini. Sekolah ini telah dinaiktaraf dengan penambahbaikan dalam setiap aspek, sama ada aspek pembangunan, kurikulum, ko-kurikulum dan sebagainya. Maka terhasillah Maktab Mahmud yang sedia ada pada hari ini dengan pelajar seramai 239 orang.

No comments:

Post a Comment